Random Photos

Tuesday, November 18, 2008

Hilangkan Segalanya Indonesia Video Shoot

Gelisah melihat Ari Wibowo

Perasaan Farawahida menjadi gundah gulana apabila diminta meluahkan perasaan terhadap bintang filem popular Indonesia

TIADA kata yang boleh digambarkan untuk menyatakan betapa terujanya Farawahida apabila diberitahu akan bertentang mata dengan pelakon ternama Indonesia, Ari Wibowo.

Bahkan, hatinya juga bagaikan gundah gulana tatkala memikirkan bagaimana atau apa cara yang terbaik untuk menyatakan perasaannya terhadap bintang filem yang disegani itu.

“Saya memang kenal Ari Wibowo. Saya tahu dia pernah berlakon dengan Haliza Misbun. Cuma, saya tidak terfikir untuk berlakon dengan dia, walaupun hanya dalam klip video. Apabila diberitahu, model untuk klip video lagu Hilangkan Segalanya ialah Ari Wibowo, saya jadi tergamam,” katanya.

Sambungnya lagi, pada peringkat awal memang ada perasaan agak takut kerana Ari adalah seorang pelakon terkenal sedangkan dirinya pula hanya pelakon yang mungkin kurang dikenali di Indonesia.

“Dia pelakon, saya penyanyi. Memang kami dari dua bidang berbeza. Tapi kami sama-sama luahkan perasaan antara satu sama lain. Antara kami, masing-masing ada karektor berasingan.



“Tapi saya memang sangat beruntung kerana dapat digandingkan dengan Ari Wibowo. Ia sangat eksklusif untuk klip video ini. Saya diberitahu oleh pihak media di Indonesia, Ari Wibowo adalah pelakon yang dibayar paling mahal. Khabarnya dia tidak pernah muncul dalam mana-mana klip video penyanyi Indonesia.

“Ari juga sudah 15 tahun tidak berlakon di drama TV dan filem. Saya bangga apabila pelakon nama besar di Indonesia memilih klip videp Hilang Segalanya sebagai tempat untuk dia membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan,” kata Farawahida.

Menurutnya, di Indonesia, kemunculan watak hero atau heroin dalam klip video sesebuah lagu yang hendak disiarkan di stesen TV dianggap sebagai sangat penting kerana ia dianggap sebagai satu cerita pendek.

Penyanyi kelahiran Taiping, Perak ini juga mengagumi cara kerja yang dilakukan oleh krew penerbitan dan penggambaran untuk klip video lagu Hilangkan Segalanya kerana mereka sangat teliti dan kreatif.

“Klip video lagu Hilangkan Segalanya ini akan disiarkan pada penghujung Disember. Saya pun tidak sabar untuk melihat hasilnya. Tapi sepanjang penggambaran klip video ini, memang semuanya profesional.

“Saya cuba mengawal perasaan gemuruh apabila bertentang mata dengan Ari Wibowo. Kalau saya gemuruh, ia boleh mengganggu penggambaran klip video ini. Saya tidak mahu melambatkan proses ini. Ia akan memberi gambaran tidak elok terhadap penyanyi kita di kaca mata krew penerbitan di sana.

“Begitupun saya dilayan sangat elok. Sehinggakan pengarah klip video ini sanggup mengipas saya kerana disangka saya kepanasan. Seseorang pengarah filem atau klip video ini tinggi darjatnya, tapi dia sanggup berbuat begitu dan saya juga tidak mahu dilayan sampai macam itu sekali,” katanya lagi.

Cantik dan anggun

MENGENAI klip video Hilangkan Segalanya, Julfekar berkata, proses pembikinannya itu diterajui oleh Daniel Djorgy atau Deden, sutradara muda yang baru menamatkan pengajian perfileman di Universiti California, Los Angeles.

Katanya, sebagai sutradara muda, Deden mengeluarkan segenap idealisme dan kreativitiya dalam merancang penerbitan klip video lagu irama balada ini.

“Deden pernah menyiapkan klip video sejumlah band yang berjaya di LA Lights Indiefest, Indonesia. Khusus untuk Farawahida, Deden menampilkan suasana yang romantis dan dalam bahasa gambar menerusi penataan hiasan dalaman yang bernuansa Eropah abad pertengahan di Nine Muses Club, Jalan Wijaya, Jakarta Selatan.

“Farawahida juga disolek dengan imej cantik dan anggun dalam balutan busana karya Amet, dari Syndicate Fashion, Bandung. Busana yang dikenakan Farawahida selama penggambaran klip dan rakaman gambar untuk kulit albumnya di Jakarta, pada pertengahan Ogos lalu.

“Ini semua memang dirancang oleh Amet yang menjaga imej Farawahida dalam posisi sebagai penyanyi cantik nan anggun. Hal tersebut pun menjadi satu kesatuan dengan tata rias wajah Farawahida yang ditangani oleh Ember Kuntadi. Dia juga adalah jurusolek bagi artis top Indonesia. Ember ialah penata rias sudah berpengalaman terbabit dalam medandani sejumlah penyanyi popular Indonesia mulai daripada band Ungu hingga Mulan Jameela,” katanya.

Semuanya kali pertama

DALAM konteks pertama kali, penggarapan klip Hilangkan Segalanya, Farawahida hasil gabungan dengan Ari Wibowo sebagai model klip lagunya. Di Indonesia, nama Ari harum sebagai pelakon filem dan drama yang dibayar mahal. Selepas sekian lama tidak berlakon, Ari seperti ‘turun dari gunung’ dengan menjadi model klip video Farawahida.

“Saya memang senang dengan lagu Farawahida. Iramanya indah, suara Farawahida juga merdu. Orangnya cantik pula, makanya, saya mahu menjadi model klip videonya,” tutur Ari di hadapan sejumlah wartawan selepas penggambaran klip video dengan Farawahida.

Puluhan kamera dan wartawan media cetak di Jakarta membuat liputan di lokasi penggambaran klip Farawahida ini.

Ari, jejak kelahiran Berlin, Jerman pada 26 September 1970 ini, memang terkenal dengan sifatnya yang sangat pemilih. Dia tidak sembarangan menerima peranan sebagai aktor di layar kaca, layar lebar atau model produk iklan.

Lantaran sifat selektif itu pula, Ari yang juga pernah menjadi bekas vokalis Cool Volors ini dicap sebagai aktor dengan bayaran mahal. Pelakon drama bersiri Indonesia, Tersanjung, Deru Debu dan Jacky ini menunjukkan kelasnya sebagai aktor terbaik.

Dalam setiap babak klip video arahan Deden, Ari yang juga dikenal sebagai atlit taekwondo ini langsung dengan cerdas menampilkan ekspresi yang sesuai mewakili lirik lagu, Istilahnya “one take shoot” menjadi hal yang menyenangkan sepanjang penggambaran yang berlangsung dari pukul 12 tengah hari hingga tengah malam. Keserasian Ari yang berdarah Jerman-Jawa ini langsung terjalin dengan Farawahida, yang begitu larut beraksi dengan Ari Wibowo.

“Buat pertama kalinya saya bertentang mata dengan lelaki,” tutur Farawahida.

Sementara bagi Ari pula, ini pertama kali dia menjadi model video klip. “Belum tentu ada tawaran lagi, saya mau,” ujarnya. Sementara, Deden pun baru pertama kali menggarap klip penyanyi solo perempuan.

Album FARAwahida untuk edaran di Indonesia

MillenniumArt Sdn. Bhd. sudah merangka untuk menerbitkan album FARAwahida bagi edaran Indonesia. Album edaran Indonesia ini, berkonsepkan pop komersial.

Pada akhir bulan Ogos 2008, rakaman album FARAwahida sudah di mulakan. Rakaman tiga lagu baru dijalankan di Jakarta iaitu di Grim Studio dan Ari Bias Studio, manakala proses rakaman untuk lima lagu lagi dilakukan di .

Sebanyak 50 peratus daripada susunan muzik dalam album ini menerapkan penggunaan ‘live strings’. Selain itu, juga bukan saja berkisar mengenai soal cinta, tetapi juga menonjolkan mesej yang bersifat sejagat seperti ketuhanan, kekeluargaan, kemanusiaan, kecekalan wanita dan sebagainya. Penerapan mesej itu adalah bertujuan agar tugas Farawahida, bukan saja sebagai penghibur malah membawa pendengar berfikir dan penerapan nilai murni dalam kehidupan..

Proses rakaman album ini disiapkan dalam masa tiga bulan. Album FARAwahida ini diedarkan oleh Demajors ini pada akhir bulan Disember 2008. Kebanyakan lagu yang terdapat dalam album ini, adalah hasil ciptaan Ari Bias, Congky, Umar Kudat, Abie, Haj, Jas, Kay, Fera dan Julfekar sendiri.

Album FARAwahida yang diterbitkan oleh Julfekar ini mengandungi lapan lagu keseluruhannya, Walaupun album ini belum lagi diedarkan, sebuah lagu iaitu Hilangkan Segalanya diambil menjadi lagu tema drama. Kasih Iftitah arahan Loy yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 pada Ogos hingga November 2008.

Mengulas perkembangan album Farawahidah itu, Julfekar yang menjadi penerbit dan orang kuat penyanyi ini berkata, sebagai langkah awal untuk mengedarkan album Farawahida di Indonesia, MillenniumArt Sdn. Bhd. dan Aksima Record, syarikat pengurusan di Indonesia sudah merancang melakukan promosi lebih awal dengan menjalankan penggambaran video klip di Jakarta pada 12 November 2008 lalu.

“Video klip lagu bertajuk Hilangkan Segalanya adalah single pertama dari album bertajuk ‘Farawahida’ yang akan dipasarkan di Indonesia, akhir Disember nanti. Lagu Hilangkan Segalanya, dipilih sebagai single pertama oleh sejumlah Music Director (MD) stasen radio terkemuka di Indonesia.

“Setelah berjaya di negara sendiri, cabaran untuk menembusi pasaran Indonesia adalah sebuah cabaran besar dalam karier artis berdarah Pakistan Melayu ini. Dengan itu MillenniumArt menerbitkan album dengan membabitkan pasukan kreatif dari dua negara,” katanya.

Album Farawahida di Indonesia memuatkan lagu ‘Panah Asmara’, ciptaan Ari Bias. Lagu-lagu ciptaan Ari banyak dinyanyikan sejumlah penyanyi popular Indonesia seperti Agnes Monica, Reza dan Krisdayanti.

Ari juga yang menjalankan proses pengadunan untuk lagu lain ciptaan komposer Malaysia agar mempunyai cita rasa yang senada dan boleh dinikmati oleh telinga pencinta muzik Indonesia, sementara mastering ditangani oleh Adhy Pramana di Crossfade Mixing Mastering Studio, Jakarta.



Dipetik dari Hip, Berita Harian 18/11/2008

1 comment:

  1. saya suka lagu Farahwahida - PAnah Asmara!!!

    promote sikit lagu tersebut ok

    ReplyDelete